". PEARLKID: Mengapa Kita Perlu Utamakan IbuBapa selepas Allah S.W.T Dan Rasul ?

Search the web

Saturday, January 23, 2021

Mengapa Kita Perlu Utamakan IbuBapa selepas Allah S.W.T Dan Rasul ?


 Salam Sahabat Semua, semoga hari ini Indah buat kita semua. Dalam saat dunia bersabar menghadapi dugaan Pandemik Covid 19 sekarang apa kata kita meluangkan masa dengan membaca. 

Ingin dikongsikan di sini petikan nasihat dari buku yang saya baca yang cukup memberi kesan kepada hati. Dalam mencari keredhaan Allah S.W.T yang mencipta dan memberi ujian semoga kita mendapat kesabaran dan keredhaanNya dalm menyucikan hati mencapai "Qolbun Salim"..

Islam Itu Indah dalam segala aspek kehidupan dan akhirat, memupuk keperibadian umat mencapai kebahagian hidup bermasyarakat.

hayati antara nasihat yang dipetik dalam konteks perhubungan kita dengan ibu bapa sebagai amanah yang di beri oleh Allah S.W.T.

Dalam Konteks perhubungan kita sebagai anak dan juga Ibu Bapa kepada anak kita tentu ramai yang telah mengalami berbagai dugaan pahit dan manis. Semoga nasihat yang mendalam dari buku ini berserta hadis dan dalil dapat memberi kita hidayah dalm mencapai matlamat dunia dan akhirat.

ingatlah bahawasanya dunia hanya sekadar tempat persinggahan (R&R) dalam permusafiran kita. Perjalanan dunia ada titik noktah manakala perjalanan akhirat adalah sesuatu kekal abadi. 


ihsan PTS publishing

Utamakan IbuBapa selepas Allah S.W.T Dan Rasul

 

Kita semua adalah seorang anak, yang lahir hasil daripada perkahwinan ibu dan bapa. Meskipun sekarang ibu ataupun bapa sudah tiada, namun buat selama lamanya kita tetap seorang anak kepada mereka. Kematian mereka tidak sesekali menghilangkan gelaran kita sebagai seorang anak.

Masih ingatkah kita, pada zaman kecil ataupun remaja, bagaimana sikap dan akhlak diri ketika berbicara bersama ibu bapa ?

Tentu semua daripada kita dahulu pernah menhentakkan kaki dan berlalu pergi daripada mendengar celoteh ibu bapa. Ataupun tentu sahaja dahulu kita pernah bercakap kasar dengan ibu bapa sebagai tanda protes selepas kita dimarahi oleh mereka.

Mungkin itu 10 tahun lalu, dan sekarang kita sudah berubah dan mula matang. Tentu kita tidak lagi mengulangi kesalahan itu sekarang ini. Namun, jikalau ada sesiapa yang masih berkelakuan sedemikian dan masih merasakan bahawa semua tindakan itu boleh dilakukan, ada beberapa pesanan yang ingin penulis sampaikan.

Jikalau ibu bapa sedang bercakap kepada kita, jangan sesekali kita melangkah pergi ataupun sekadar mendengar sambil berjalan. Adab yang sepatutnya kita lakukan adalah mendekati dan menghayati apa yang dituturkan oleh mereka. Itu adalah tuntutan agama yang sebenar.

Mendengar sampai berjalan menunjukkan ketidaksopanan dan kurangnya akhlak dalam diri. Ibu bapa bukannya manusia yang asing dalam hidup. Mereka adalah insane yang bertarung nyawa melahirkan dan memelihara kita hingga ke hari ini.

Walaupun apa yang dicakapkan oleh ibu bapa tidak disukai ataupun sedikit kasar, kita dak harus membelakangkan mereka. Berbicaralah dengan ucapan yang sehalus mungkin supaya kita tidak sesekali melukakan hati insan yang sudah membesarkan kita.

Tetap menjadi kewajipan anak-anak bagi memenuhi adab-adab terhadap ibu dan bapanya, kerana tiada hak yang lebih besar utnuk ditunai dan dipenuhi selepas allah S.W.T dan Rasul, melainkan hak kepada ibu bapa.

Diharapkan bermula hari ini kita tidak lagi bersikap dingin kepada ibu bapa. Sentiasa ukirkan senyuman yang paling manis di hadapan orang tua, meskipun kadang-kadang kita masih lagi dimarahi oleh mereka disebabkan kesilapan kecil.

Percayalah, hari ini kita mungkin rimas dengan leteran mereka, namun kelak kita akan merinduinya. Ketika itu, kita tidak lagi mampu mendengarnya kerana mereka sudah pergi meninggalkan kita di dunia ini.

Paling malang, berapa ramai anak-anak yang mula menyisihkan ibu bapa mereka hanya disebabkan beberapa masalah tertentu. Akuilah, manusia itu tidak lepas daripada melakukan kesalahan, namun jangan sesekali memandang hina wajah mereka apatah lagimembiarkan ibu bapa tanpa langsung mempedulikannya.

Ada juga sesetengah ibu bapa yang tidak berkelakuan baik dan tidak melayan anak-anak mereka dengan sebaiknya. Biarkan kesalahan itu dinilai oleh Allah S.W.T menghukum adalah kepunyaan Allah S.W.T. Jangan pula anak-anak yang menghukum mereka tanpa pernah memikirkan jasa mereka kepada kita.

Berbaktilah kepada ibu bapa kita sekiranya mereka masih hidup. Sekiranya mereka sudah meninggal dunia, maka teruskan berdoa semoga mereka sentiasa dihujani titisan rahmat. Tugas sebagai anak tetap wajib dijalankan. Berdoa semoga Allah S.W.T mengampuni dan merahmati kedua ibu bapa di atas apa yang mereka lakukan.

Sesungguhnya kepayahan melahir dan membesarkan anak-anak tidak terhitung susahnya. Tiada kesalahan dan kesilapan ibu bapa yang layak dihukum jikalau anak- anak waras memikirkan kesusahan itu. Bayangkan keadaan ibu yang bertarung nyawa melahirkan nyawa melahirkan anak dan  bapa yang bagaikan gila menanti suara tangisan anak di bilik kelahiran. Hanya yang tidak berakal menghukum ibu bapa mereka.

Mungkin ibu bapa pernah melakukan kesilapan terhadap anak-anak. Namun tanpa kasih sayang ibu bapa, anak-anak tidak akan lahir ke dunia ini. Sesungguhnya, pengorbanan anak-anak tidak sesekali dapat mengatasi pengorbanan ibu bapa, meskipun anak-anak dipanjangkan usia untuk hidup 1,000 tahun bagi berkorban demi ibu bapa mereka.


semoga ilmu yang disampaikan dapat memberi manfaat kepada kita semua. 

terima kasih pihak pengarang tuan Nor Mohamad Adli Rosli dan tuan Mohd Khairi Ismail dalam mengusahakan naskah kecil yang bernilai ini. tidak lupa juga kepada pihak PTS publisher dalam usaha mengimarahkan kepada masyarakat.

dapatkan naskah anda di sini